Wednesday, 29 May 2013

Kementerian Kesihatan Gantung 11 Produk Taiwan

Kementerian Kesihatan Gantung 11 Produk Taiwan


KUALA LUMPUR – Siasatan awal Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada produk tapioca balls atau tapioca pearls keluaran Syarikat Sunright Foods Corporation di Taiwan yang disyaki mengandungi maleic acid diimport ke Malaysia.
Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Noraini Mohd. Othman bagaimanapun menjelaskan Kementerian Kesihatan masih menunggu pengesahan lanjut tentang perkara itu daripada Taipei Economic and Cultural Office di Malaysia.
“Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan tentang tapioca balls atau tapioca pearls keluaran syarikat itu yang dikesan tercemar dengan maleic acid. Tapioca balls atau tapioca pearls digunakan dalam penyediaan minuman bubble tea.
“Pengambilan maleic acid pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan tetapi pengambilannya pada paras yang tinggi dalam tempoh panjang berkemungkinan menyebabkan kerosakan buah pinggang.
“Penggunaan maleic acid tidak dibenarkan dalam makanan di Malaysia di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Noraini dalam pada itu mengakui tapioca balls atau tapioca pearls yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat lain di Taiwan turut dikesan dicemari maleic acid dan sebagai langkah berjaga-jaga, KKM telah menggantung pengimportan 11 produk daripada Taiwan.
Produk terbabit adalah Tapioca Ball daripada Sunright Corporation, Tapioca Starch daripada Hong Kai Foods Co., Black Tapioca Pearl daripada Possmei InternationalCo Ltd, Indica Rice Powder daripada Sunright Foods Corporation, Tapioca Pearls daripada Shang Wang, Tapioca Starch Ball daripada Grand Chainly Enterprises Co. Ltd, Tapioca Pearls daripada Ting Long, Noodles daripada Sin Chi Zhi Miang Chang, Tapioca Pearls daripada An Li Si, Tapioca Pearls (White) daripada Taiwan Tapioca Foods Company Ltd dan Tapioca Pearls (Black) daripada Taiwan TapiocaFoods Company Ltd.
“Pihak pengimport, pengedar atau penjual 11 produk yang disenarai itu dinasihatkan untuk menarik balik produk dari pasaran dengan kadar segera,” katanya.
Selain itu Noraini turut memaklumkan Kementerian Kesihatan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap produk makanan yang sama keluaran syarikat lain di Taiwan melainkan pengimport mengemukakan sijil analisis makmal yang diiktiraf FDA Taiwan yang mengesahkan produk tersebut bebas maleic acid.
Sehubungan itu beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam industri makanan supaya meningkatkan kawalan keselamatan makanan dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan produk makanan yang dijual di negara ini adalah selamat.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan akan terus memantau makanan yang di import dari Taiwan dan industri yang menggunakan produk berkaitan dinasihatkan supaya berhenti menggunakan produk berkenaan.
Katanya, semua pengimport, pengedar, penjual dan industri yang terlibat dikehendaki melaporkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengenai produk yang didapati tercemar dengan maleic acid supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.
“Bagi pengguna yang telah membeli produk makanan tersebut dinasihatkan jangan memakannya dan pulangkan produk itu kepada penjual atau dibuang.Pengguna yang telah mengambil produk itu sebelum ini tidak perlu bimbang kerana pengambilan maleic acid pada paras rendah tidak memudaratkan kesihatan,” jelasnya.
Iklan Teks: 

0 comments:

Post a Comment